Thursday, 21 November 2013

TELAH KU PATRIKAN CINTA

BAB 1

Suasana pada petang itu sungguh meriah. Hilai tawa  dan gurau senda dalam kesibukan membuat persiapan untuk majlis perkahwinan pada esok hari  memecah kesunyian rumah papan di pinggir jalan itu. Sesekali terdengar laungan suara memanggil tuan rumah bertanyakan itu dan ini.
Semakin menjelang petang semakin ramai saudara mara dan jiran tetangga yang hadir. Menawarkan diri membantu apa sahaja yang perlu. Memotong bawang, cili, daging dan apa sahaja yang dihulurkan kepada mereka. Sambil tangan terus lincah membuat kerja mulut sibuk mengunyah kuih muih yang disajikan seraya rancak berbual dan usik mengusik di antara mereka. Waktu-waktu begini wanita-wanita tua yang melatah seringkali diusik untuk menjadi bahan gurauan mereka.    
Khemah tetamu  pagi-pagi lagi sudah didirikan. Enam buah kanopi berwarna perak dipasang kemas di tengah halaman. Dihias indah dengan kain satin merah yang diikat beropol-ropol disetiap tiang di bucu khemah, menjadikan ruang halaman rumah itu begitu meriah. Entah berapa ribu yang dihabiskan oleh paklongnya, Amira tidak tahu. Ditambah dengan seekor lembu yang dibeli dari hujung kampung, pastinya majlis ini akan dibuat besar-besaran. Mana tidaknya, itu majlis perkahwinan anak tunggal kesayangan pak long dan mak longnya. Sudah tentu pasangan itu akan memastikan ia tidak dibuat sembarangan.
Di dapur, terdengar riuh suara maklong mengarah itu dan ini pada anak-anak buahnya. Sesekali terburai ketawa bangganya mungkin kerana terlalu gembira disakat jiran-jiran atau saudara mara konon bertuah bermenantukan  seorang  bakal eksekutif muda.
  Suasana menjadi bertambah meriah apabila sesekali terdengar laungan dan derai tawa anak-anak muda di belakang rumah yang sedang sibuk membina beberapa buah para dari batang pinang untuk menyusun pinggan mangkuk.
            Di ruang tamu, di hadapan pelamin, sekumpulan anak gadis sedang duduk  berkumpul menyiapkan bungkusan bunga telur dan gula-gula. Tersipu-sipu si bakal pengantin dek usikan teman-teman. Berseri-seri wajahnya tatkala mengenangkan saat-saat manis yang bakal menjelma. Bertuahnya badan kerana sudi disunting jejaka idaman. Kasihan pada mata-mata yang bakal terkebil-kebil melihat dia duduk bersanding di atas singgahsana yang terhias indah itu, esok. Pasti ada hati yang tersiksa melihat dia sebagai puteri yang berjaya bertahta di hati sang putera tampan di sisinya.
Ah, dah jodoh aku, desis hati si bakal pengantin penuh bangga.


No comments:

Post a Comment