Salam and good day...
Entah kenapa tiba-tiba aku teringat tentang satu peristiwa yang berlaku pada satu masa dahulu. Seorang wanita bertudung litup datang dan duduk di kerusinya.
"Geramnya aku! ada ke dia panggil aku "puan"? Buta ke apa? aku cakap la pada dia balik 'hei! kau nampak muka aku ni macam muka 'puan' ke?" gerutunya dengan muka mencuka.
Aku menoleh. Terkejut! Pelik! seorang 'profesional' marah-marah apabila dipanggil 'puan'. Aku renung muka dia yang mencuka tu. Lama. Nampak dalam 30 puluhan. Tambah-tanbah pulak badannya agak berisi. Memang layak dipanggil sebegitu. Ketika itu aku juga berusia sekitar tiga puluhan. Jadi sedikit sebanyak aku pasti mampu mengagak.
Aku fikir balik. Apa masalah dia ni sebenarnya? Dia faham tak apa niat sebenar orang yang menegurnya sebentar tadi? Pada aku kalau setakat penggunaan istilah tu, tak ada salahnya. Sebab penggunaan istilah 'puan' bukan setakat untuk wanita yang sudah berkahwin. Nak saja aku tarbiah perempuan tu, tapi tak payah cari masalah. Orang tengah panas biarkan dia sejuk dulu. 'Dulu'? Kemudian nak tarbiah dia? Eh! bukan maksud aku macam tu. Biarlah. Aku tak layak pun untuk tegur dia.
Cuma, kita sama-sama belajar dari kesilapan. Ada ketika aku juga dipanggil 'makcik' oleh anak-anak kecil. Malah oleh remaja, kadang-kadang. Tapi aku tak pernah 'jumping'. Biarlah, Asalkan mereka tegur dengan cara yang penuh hormat. Mereka 'say hello' itu pun dah cukup untuk menunjukkan yang mereka hormatkan kita. Aku tak pernah ambil pusing soal tu. (Cuma kadang-kadang bila tengok cermin, terfikir pulak, betul ke dah nampak macam makcik ni? Seram-seram...)
Berbalik pada istilah 'puan'. Kepada sesiapa yang tidak berapa jelas, sebenarnya istilah itu luas penggunaannya. Dalam keadaan formal, ia merujuk kepada seorang wanita. Tidak kira sama ada sudah atau belum berkahwin. Ada yang kurang jelas, perempuan dah kahwin, cerai, masih 'puan'? Jawapannya, dalam surat atau keadaan formal, masih 'puan'. Itu istilah standart. Satu kerjalah pulak 'sipolan' yang hendak menaik surat tu terpaksa call tuan punya alamat, bertanya 'cik dah kawin ke belum...?'
Kalau kita ke restoran atau hotel, biasanya pelayan-pelayan tu akan menyapa kita berdasarkan apa yang mereka nampak. Tapi biasanya yang terdengar hanya 'madam' bukan 'miss'. Mungkin mereka hendak menunjukkan hormat dalam keadaan yang eksklusif macam tu. Yelah, nama pun formal!. Mungkin pada yang betul-betul nampak remaja sahaja barulah istilah 'miss' digunakan.
Cuma dalam perbualan biasa terserah pada keadaan. Kalau kita tahu dia belum kahwin, tidak kira berapa usianya, panggil saja 'cik' untuk menghormati statusnya. Tapi ada keadaan, seorang individu yang berusia masih selesa dipanggil 'puan'.Tidak ada masalah bagi mereka kerana secara peribadi mereka akan terasa lebih dihormati. Termasuk aku.
Jadi, janganlah marah kalau orang yang tidak dikenali tiba-tiba menyapa kita dengan istilah 'puan'. Kita senyum saja. Nak senyum macam mana? Terserah. Nak senyum ikhlas boleh, nak senyum menggoda (kalau kena tempatnya) pun boleh. Apa-apa pun kita dah dapat pahala sebab senyum itu kan sedekah?
No comments:
Post a Comment