BAB 1
Suasana pada
petang itu sungguh meriah. Hilai tawa
dan gurau senda dalam kesibukan membuat persiapan untuk majlis
perkahwinan pada esok hari memecah
kesunyian rumah papan di pinggir jalan itu. Sesekali terdengar laungan suara
memanggil tuan rumah bertanyakan itu dan ini.
Semakin
menjelang petang semakin ramai saudara mara dan jiran tetangga yang hadir. Menawarkan
diri membantu apa sahaja yang perlu. Memotong bawang, cili, daging dan apa
sahaja yang dihulurkan kepada mereka. Sambil tangan terus lincah membuat kerja
mulut sibuk mengunyah kuih muih yang disajikan seraya rancak berbual dan usik
mengusik di antara mereka. Waktu-waktu begini wanita-wanita tua yang melatah
seringkali diusik untuk menjadi bahan gurauan mereka.
Khemah
tetamu pagi-pagi lagi sudah didirikan.
Enam buah kanopi berwarna perak dipasang kemas di tengah halaman. Dihias indah
dengan kain satin merah yang diikat beropol-ropol disetiap tiang di bucu
khemah, menjadikan ruang halaman rumah itu begitu meriah. Entah berapa ribu
yang dihabiskan oleh paklongnya, Amira tidak tahu. Ditambah dengan seekor lembu
yang dibeli dari hujung kampung, pastinya majlis ini akan dibuat besar-besaran.
Mana tidaknya, itu majlis perkahwinan anak tunggal kesayangan pak long dan mak longnya.
Sudah tentu pasangan itu akan memastikan ia tidak dibuat sembarangan.
Di dapur,
terdengar riuh suara maklong mengarah itu dan ini pada anak-anak buahnya.
Sesekali terburai ketawa bangganya mungkin kerana terlalu gembira disakat
jiran-jiran atau saudara mara konon bertuah bermenantukan seorang
bakal eksekutif muda.
Suasana menjadi bertambah meriah apabila sesekali
terdengar laungan dan derai tawa anak-anak muda di belakang rumah yang sedang sibuk
membina beberapa buah para dari batang pinang untuk menyusun pinggan mangkuk.
Di ruang tamu, di hadapan pelamin,
sekumpulan anak gadis sedang duduk
berkumpul menyiapkan bungkusan bunga telur dan gula-gula. Tersipu-sipu
si bakal pengantin dek usikan teman-teman. Berseri-seri wajahnya tatkala
mengenangkan saat-saat manis yang bakal menjelma. Bertuahnya badan kerana sudi
disunting jejaka idaman. Kasihan pada mata-mata yang bakal terkebil-kebil
melihat dia duduk bersanding di atas singgahsana yang terhias indah itu, esok.
Pasti ada hati yang tersiksa melihat dia sebagai puteri yang berjaya bertahta di
hati sang putera tampan di sisinya.
Ah,
dah jodoh aku, desis hati si bakal pengantin penuh bangga.